Haji Abdullah Hukum dan Kuala Lumpur Haji Abdullah Hukum

Apabila Hj. Abdullah Hukum mula-mula sampai di Kuala Lumpur, beliau menumpang tinggal di rumah Haji Abdul Ghani, orang Air Bangis (Minangkabau) yang berkedai di suatu lorong yang kemudiannya dikenali sebagai Java Street. Selain itu pekan Kuala Lumpur hanya mempunyai satu lorong lain, iaitu dikenali kemudiannya sebagai Market Street semasa itu Ampang Street (Lorong Ceti) belum muncul lagi. Di kawasan ini terdapat kolam-kolam ikan yang dimiliki oleh Sutan Puasa. Beliau bersama Raja Bilah ialah pembesar bagi masyarakat Kuala Lumpur ketika itu bertugas mengutip hasil dagangan yang lalu lintas melalui Sungai Kiang atau Sungai Gombak. Cukai timah ialah seringgit sebahara (tiga pikul).

Di tahun 1850-an itu rumah kedai di Kuala Lumpur beratap bertam, dinding pelupuh (buluh) dan orang yang berniaga di situ seperti menjual kain-kain dan makanan semuanya orang Melayu, iaitu keturunan Rawa dan Mandailing.

Jalan keluar masuk kuala Lumpur ialah menggunakan perahu atau berjalan kaki. Perahu dagang mengambil masa di antara 10-15 hari bergalah dari Kelang untuk sampai ke Kuala Lumpur. Kalau airnya daiam boleh sampai dalam tiga hari.

Bermula dari tahun 1859, penduduk Kuala Lumpur menjadi semakin bertambah. Pembesar-pembesar Melayu mula menggunakan ramai pekerja Cina untuk membuka kawasan lombong di sekitar Kuala Lumpur, terutamanya di Ampang. Akibatnya orang-orang Cina juga mula terlibat dalam perniagaan. Yap Ah Loy, Kapitan Cina (1868-1885) memiliki kira-kira separuh daripada rumah kedai di Kuala Lumpur.

Sehingga awal 1880-an hanya 70 daripada 220 rumah kedai berada di tangan orang Melayu. Menurut Haji Abdullah Hukum, orang-orang Melayu yang kaya pada masa itu kebanyakannya ialah orang Minangkabau.

Selain golongan peniaga, terdapat juga orang Melayu yang membuka beberapa kawasan penempatan dan kebun di Kuala Lumpur. Di antaranya ialah di Setapak yang dahulunya dikenali sebagai Sungai Tapak, di Pudu, Bukit Nenas, Petaling, Batu dan di Sungai Putih (Jalan Bangsar).

Antara tanaman penduduk Melayu di tempat-tempat tersebut ialah padi, sayur-sayuran, tebu, pisang, sirih. Pokok-pokok yang disukai oleh orang Melayu yang menerokai pembukaan Kuala Lumpur ini ialah kopi dan lada hitam.

Disebabkan penduduk Melayu di pusat bandar Kuala Lumpur ketika itu agak ramai, maka didirikan juga dua buah masjid. Yang pertama didirikan oleh Encik Baki, orang Melaka yang juga bapa mertua kepada Haji Abdullah Hukum dan dinamakan Masjid Melaka kerana ia didirikan atas pakatan orang Melaka dan tukang serta pegawainya juga terdiri daripada mereka. Tempat masjid itu ialah di Kampung Melaka (Batu Lane kemudiannya). Tetapi masjid itu akhirnya diambil alih oleh masyarakat India Muslim dan sejak itu (terutamanya pada 1930-an) ia dikenali sebagai Masjid Keling atau Masjid Chulia. Pada ketika itu orang Minangkabau juga telah mendirikan sebuah masjid lain, iaitu berdekatan dengan gedung Gian Singh pada 1930-an.

Disebabkan adanya dua buah masjid bagi masyarakat Melayu di Kuala Lumpur, maka terjadilah perselisihan kerana masing-masing hendak mendirikan solat Jumaat di Masjid mereka. Ini hampir menimbulkan perkelahian besar. Tetapi dengan campur tangan Sultan Abdul Samad, sembahyang Jumaat telah diadakan secara bergilir-gilir maka selesailah perselihan faham tersebut.

Sejak Kuala Lumpur dibuka hingga 1890-an, Bukit Nenas adalah pusat kuasa bagi masyarakat Melayu kerana wakil Sultan menetap di situ. Jika ada sebarang keramaian tradisional seperti sempena perlantikan ketua atau pembesar masyarakat Melayu, maka ia diadakan di Bukit Nenas. Antaranya sempena perlantikan Tuk Alam Setapak, Tuk Bela Sungai Cantik, Imam Perang Muhammad Arif, Raja Utih dan Tuk Dagang Dianjuk (Haji Abdullah Hukum sendiri), dimana satu keramaian telah diadakan selama tujuh hari tujuh malam menurut adat keramaian zaman dahulu.

Sungguhpun Kuala Lumpur menjadi semakin maju dan berkembang pesat selepas campur tangan British pada 1875, namun penduduk Melayu yang berjaya untuk berkongsi kemajuan awal Kuala Lumpur sejak 1850-an telah mula tersisih daripada arus pembangunannya.Ini dikuatkan lagi dengan perkembangan dimana masyarakat Melayu telah berpindah dari bandar Kuala Lumpur untuk membuka perkampungan baru di pinggir kota, berakhirnya pemilikan Masjid Melaka oleh orang Melayu Melaka,penutupan perkuburan Islam (Melayu) di kuala antara Sungai Gombak dengan Sungai Klang, terbentuknya Kampung Baru, Kuala Lumpur atas usaha pentadbiran British untuk melihat masyarakat Melayu berterusan berada di sekitar bandar Kuala Lumpur, tetapi berada dalam dunia mereka yang tersendiri, iaitu dibuai oleh nostalgia hidup dalam alam perkampungan yang aman damai.

Dewasa ini nama Haji Abdullah Hukum hanya tercatat pada nama Kampung Hj Abdullah Hukum dan stesen LRT Abdullah Hukum, ramai yang tidak tahu tentang beliau dan kaitan beliau dengan sejarah Selangor dan Kuala Lumpur.Maka dengan itu usaha-usaha harus dijalankan untuk menyelidiki dengan lebih dalam lagi tentang susur galur dan sejarah beliau demi mengelakkan sejarah negara kita akan terus terkubur.